Sunday, August 2, 2009

Kebajikan sosial dalam konteks 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam iaitu Dato Seri Najib Tun Razak telah mendapat pelbagai respon yang menggalakan dari pelbagai pihak. Ini menunjukkan yang rakyat Malaysia semakin peka dengan perubahan yang berlaku pada masa kini. Berdasarkan kepada slogan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, ia dapat menjadi salah satu pengukuran kepada kebajikan sosial di Malaysia. Perkembangan Kebajikan Sosial di Malaysia sudah semakin mendapat perhatian dari banyak pihak yang sewajarnya. Namun, adakah ia telah mencapai tahap yang sepatutnya?

Salah satu tujuan kebajikan sosial adalah untuk mendapatkan keadilan sosial bagi semua pihak. apa yang dapat disini, prinsip keadilan sosial untuk semua kaum telah menjadi salah satu komponen yang berada dalam aspek pertama kepada gagasan 1 Malaysia. Keadilan sosial ini membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini akan mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan. 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Seharusnya semua rakyat Malaysia akan menikmati faedah daripada perlaksanaan yang akan dijalankan oleh pihak kerajaan nanti.

1Malaysia ini juga dilihat berdasarkan kepada 8 prinsip utama iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan, dan budaya inovasi. Berdasarkan kepada lapan prinsip ini, tidak mustahil kebajikan sosial di Malaysia akan lebih berkembang maju di Malaysia sekiranya semua pihak yang terlibat menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan. Kebajikan sosial bukan hanya dilihat dalam aspek kemiskinan sahaja tetapi juga meliputi seluruh kehidupan manusia dalam mempertingkatkan lagi kefungsian sosial mereka.

Ini kerana, untuk menjadikan kebajikan sosial di Malaysia adil kepada semua rakyat, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah bajet yang besar dalam merangka projek yang dapat memberikan faedah kepada rakyat. Namun bukan mudah untuk memastikan kebajikan sosial yang diberikan samada adil dan saksama. Kebanyakan program yang dibentuk hanya dapat dinikmati oleh golongan tertentu sahaja. Diharap dengan adanya gagasan 1Malaysia ini, kebajikan sosial di Malaysia dapat dipertingkatkan dan semua pihak mendapat hak mereka samarata bagi menjamin kesejahteraan semua rakyat.

0 comments: